Butiran Batu Rasyid

Dalam catatan artifak pengembaraan Perancis ke Mesir, Batu Rosetta disenaraikan sebagai "sebuah batu granodiorit hitam, dengan tiga suratan ... dijumpai di Rasyid (Rosetta)" yang kemudian jatuh ke tangan tentera British pada tahun 1801.[1] Selepas seberapa lama tibanya di London, batu tersebut dilakar dengan kapur untuk membenarkan ukiran batu lebih mudah dibaca, akhirnya ia disalut dengan lapisan lilin karnauba untuk melindunginya daripada jari-jari pengunjung muzium.[2] Lilin ini menyebabkan warna batu berubah menjadi hitam legam sehingga ada yang tersalah anggap yang ia batu basalt hitam.[3] Semua ini dibuang semasa pembersihan batu pada tahun 1999, yang menyerlahkan warna abu-abu, kilauan hablur batu, dan juga telerang merah jambu pada sudut kanan atas yang asal.[4] Apabila dibandingkan dengan sampel-sampel batu dari koleksi batu Mesir Klemm, Batu Rosetta menunjukkan persamaan dengan batu yang berasal dari kuari granodiorit di Gabal Tingar di sebelah barat sungai Nil, barat Elefantin di wilayah Aswan; telerang merah jambu ialah ciri penting untuk granidiorit dari wilayah ini.[5]

Ketinggian Batu Rosetta ialah 1,123 milimeter (3 kaki 8 inci) pada sudut tertinggi, berkelebaran 757 mm (2 kaki 5.8 inci), dan berketebalan sebanyak 284 mm (11 inci). Beratnya ialah kira-kira 760 kilogram (1,680 paun).[6] Ia mempunyai tiga buah suratan: suratan teratas ditulis dalam hieroglif Mesir Purba, suratan tengah ditulis dalam tulisan demotik yang berfungsi seakan tulisan ringkas digunakan orang awam, dan yang terbawah pula ditulis dalam bahasa Yunani Purba.[7] Permukaan depannya digilap dan tulisan diukir dengan halus; sisi batu dilicinkan namun muka belakangnya tidak dilicinkan dengan habis, mungkin juga kerana ia tidak akan kelihatan apabila didirikan.[5][8]

Stele asal

Salah satu cadangan rupa stele asal

Batu Rosetta ini adalah sebahagian daripada sebuah stele yang lebih besar. Tiada cebisan lain dapat ditemui di tapak Batu Rosetta dijumpai.[9] Ketiga-tiga suratan yang ditulis tidak lengkap kerana batu ini ternyata cacat. Suratan yang teratas dengan hieroglif telah mengalami kerosakan yang paling teruk. Hanya 14 baris sahaja yang dapat dilihat; akan tetapi, semua baris juga ada pecah pada bahagian kanan, dan 12 pada belah kiri. Suratan tengah pula terpelihara dengan baik; ia mengandungi 32 baris walaupun 14 daripadanya rosak sedikit pada belah kanan. Suratan terbawah pula yang mengandungi tulisan Yunani mempunyai 54 baris, dan 27 baris masih sempurna; yang selebihnya pula cacat kerana ada sedikit bahagian yang pecah pada bahagian kanan bawah pada batu.[10]

Walaupun Batu Rosetta ini hanyalah secebis daripada stele asal, kepanjangan teks dan saiz sebenar ia boleh dianggarkan dengan membandingkan stela-stela yang mirip ia. Contohnya dekri dari Kanub, yang didirikan pada tahun 238 SM semasa zaman pemerintahan Ptolemaios III, berketinggian 2,190 mm (7.19 kaki) dan berkelebaran 820 mm (32 inci), dan mempunyai 36 baris hieroglif, 73 baris demotik, dan 74 dalam Yunani. Teks-teks tersebut hampir sama panjang.[11] Dengan ini, dianggarkan kira-kira 14 atau 15 baris hieroglif tiada pada suratan bahagian atas, dan menjumlahkan sebanyak 300 mm (12 inci).[12] Juga, ada kemungkinan juga ia mempunyai gambaran raja dengan dewa-dewi dan suria bersayap, seperti dalam Stele Kanub. Semua ini, digabung dengan simbol hieroglif untuk "stela" pada batu itu sendiri:

(rujuk senarai simbol Gardiner), menunjukkan bahawa stela ini mempunyai bahagian atas yang melengkung.[7][13] Ketinggian stele asal dianggarkan kira-kira 149 cm (4 kaki 11 inci).[13]

Rujukan

WikiPedia: Batu Rasyid http://science.howstuffworks.com/environmental/ear... http://www.britishmuseum.org/explore/highlights/ar... http://www.britishmuseum.org/explore/highlights/ar... http://www.britishmuseum.org/explore/highlights/hi... http://www.britishmuseum.org/explore/online_tours/... https://books.google.com/books?id=b6Gx-MwHvaoC&pg=... https://books.google.com.my/books?id=jHJUAAAAYAAJ&... https://web.archive.org/web/20120119163348/http://... https://web.archive.org/web/20120831195317/http://... https://web.archive.org/web/20150116185450/http://...